Monday, August 25, 2008

MAKLUMAT

1.0 Visi Sekolah
Sekolah Band 3 2014

2.0 Misi Sekolah
Mencemerlangkan semua aspek pengurusan sekolah bagi merealisasikan visi sekolah yang ditetapkan.

3.0 Pernyataan Misi Sekolah
Bahawa sesungguhnya misi Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, Kemaman ialah untuk mendidik pelajar dengan ilmu pengetahuan dan berketrampilan supaya menjadi insan kamil yang boleh menghadapi cabaran pada masa depan.

4.0 Piagam PelangganKami sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang mesra, adil dan saksama kepada pelanggan seperti berikut:-
Sentiasa berusaha menyelesaikan masalah anda dengan segera.
Melayani sebarang pertanyaan dengan mesra dan menjelaskannya dengan baik.
Menyampaikan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan tepat.
Mengurus segala surat-menyurat berhubung dengan pelajar dengan segera.
Berusaha mewujudkan hubungan erat dengan ibu bapa pelajar pada sepanjang masa.
Sentiasa mementingkan masa untuk meningkatkan keefisyenan bekerja.
Sentiasa bersedia menerima sebarang teguran dan pandangan untuk kemajuan sekolah.

LATARBELAKANG SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, Kemaman terletak kira-kira 22 km dari Bandar Chukai, Kemaman, kira-kira 2 km dari simpang empat Jalan Kijal ke Kampung Ibok, Kemaman dan 137 km dari Bandar Kuala Terengganu.

Sekolah ini dibina di atas tanah lot bernombor 002567-HS118G (8691) seluas 8.475 hektar (20.942 ekar). Tanah ini ialah asalnya tanah berpaya dan pernah ditanami padi oleh penduduk kampung berhampiran. Tanah ini dimiliki oleh beberapa orang penduduk kampung. Mereka ialah Tuan Haji Ibrahim (Tok Bilal), Encik Lias, Encik Che Wan Ahmad, Encik Abd. Rahman bin Haji Awang, Puan Kelsom (Pak Merah) dan Allayarham Encik Mat Yaakub.
Pembinaan sekolah ini adalah di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) 1986-1990 melalui pinjaman daripada Bank Dunia. Pembinaannya telah dijalankan oleh Tuan Haji Karim seorang kontraktor berasal dari Seberang Takir, Kuala Terengganu. Kerja-kerja pembinaan telah dijalankan pada bulan Mei 1989 dan dijangka siap pada bulan Jun 1990. Walau bagaimanapun oleh kerana gangguan hujan yang berterusan pada tahun berkenaan, kerja-kerja pembinaan tergendala dan lewat daripada jadual asalnya. Pembinaannya siap sepenuhnya pada bulan Oktober 1991 yang terdiri daripada dua buah blok bangunan bilik darjah dan sebuah kantin.

Pengambilan pertama pelajar sekolah ini ialah pada 1 Disember 1991. Seramai 250 orang murid, 17 orang guru dan 3 orang pekerja menjadi kumpulan perintis sekolah ini. Sekolah ini bermula dengan kelas tingkatan satu dan dua. Pelajar tingkatan dua adalah terdiri daripada pelajar tingkatan dua yang bersekolah di SMK Badrul Alam Shah, Kemasek.

Dalam tempoh dua tahun pertama, sekolah ini hanya dijalankan dalam satu sesi sahaja iaitu sesi pagi. Walau bagaimanapun, memandangkan bilangan pelajar semakin bertambah dan bilik darjah tidak mencukupi maka mulai persekolahan 1993/94, sekolah terpaksa melaksanakan persekolahan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang.

Para pelajar sekolah ini semuanya terdiri daripada pelajar berbangsa Melayu. Latar belakang sosio-ekonomi para pelajar terdiri daripada anak-anak petani, nelayan, buruh, pekerja kilang, peniaga, pekerja swasta dan jabatan kerajaan.

Para pelajar sekolah ini terdiri daripada murid-murid sekolah rendah dari kawasan di sekitarnya. Sekolah rendah yang menjadi pembekal pelajar “feeder school” kepada sekolah ini ialah SK Kijal (paling ramai), SK Telok Kalong, SK Meraga Beris dan SK Ibok, Kemaman.

Sebelum sekolah ini menerima kedatangan seorang pengetua, pentadbiran sekolah ini dipimpin oleh Cikgu Tuan Haji Che Wan Mahmud b. Draman, Guru Penolong Kanan yang telah dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk menjalankan tugas sebagai pengetua.

Pengetua pertama sekolah ini ialah seorang wanita. Beliau adalah Cikgu Puan Hajah Hazizah bt Md. Salleh yang berasal dari negeri Melaka. Beliau mula berkhidmat di sekolah ini pada 8.3.92 sehingga 31.3.94. Sebelum beliau bertukar ke sekolah ini, beliau adalah pengetua SMK Seri Dungun, Dungun. Di bawah pimpinan beliau, sekolah ini telah berkembang pesat menjadi sebuah sekolah menengah yang duduknya sebaris dengan sekolah-sekolah menengah di daerah ini.

Pada tahun pertama sekolah ini dibuka, atas permintaan ibu bapa di kawasan ini kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, sebuah kelas tingkatan satu aliran agama telah diwujudkan sehinggalah ke hari ini. Para pelajarnya terdiri daripada para pelajar yang mendapat keputusan yang agak baik di dalam peperiksaan UPSR tetapi tidak mendapat tempat di SM Agama Al-Falah, Kemaman (Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri) atau tidak mampu dari segi kewangan untuk bersekolah di sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 20 km dari sini.

Sekolah ini mula mengemukakan kumpulan pertama pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ialah pada tahun 1993. Seramai 107 calon telah menduduki peperiksaan tersebut. Manakala untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kumpulan pertama pelajar yang menduduki peperiksaan berkenaan ialah tahun 1995. Seramai 73 orang pelajar aliran sastera telah menduduki peperiksaan tersebut. Manakala untuk aliran sains sekolah ini pertama kali mengemukakan calon pada tahun 1997 iaitu seramai 33 calon.

Pencapaian para pelajar kedua-dua peperiksaan di atas agak baik. Ramai daripada para pelajar lepasan PMR mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sains, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional. Manakala pelajar lulusan SPM pula, telah dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan mahupun luar negeri.

Pada 11.1 1997, sekolah ini telah dinaikkan taraf daripada sekolah menengah gred B kepada sekolah Menengah gred A. Pengetua pertama setelah sekolah ini dinaikkan tarafnya menjadi sekolah menengah gred A ialah Encik Mohamad bin Abdullah. Sesuai dengan tarafnya sebagai sekolah menengah gred A, bilangan pelajar, guru- guru, kakitangan bukan guru dan kemudahan asas semakin bertambah.

TAHUKAH ANDA?


Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir b. Mohamad, pernah mendarat dengan helikopter Nuri TUDM di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, Kemaman iaitu pada hari Sabtu, 11 Oktober 1997, kira-kira jam 9.00 pagi ketika beliau dalam perjalanan untuk merasmikan Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TATI) di Telok Kalong, Kemaman. Ketibaan beliau telah disambut meriah oleh Menteri Besar Terengganu, EXCO Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, pemimpin-pemimpin tempatan, masyarakat setempat, guru-guru dan para pelajar SMK Kijal. Beliau dan rombongan kemudiannya menaiki kereta sambil diiringi oleh pasukan bermotor menuju ke TATI yang terletak kira-kira 4 km sahaja dari sekolah ini.

Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal


Asrama SMK. Kijal telah dibuka dengan rasminya pada 3hb. Julai 2004 oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman, Tn. Hj. Mohtar @ Mokhtar bin Mohd.

Asrama sekolah mempunyai 24 bilik penginapan bagi asrama perempuan dan 24 bilik asrama lelaki yang boleh memuatkan 400 orang pelajar lelaki dan perempuan. Selain itu, asrama juga menyediakan 4 unit rumah warden masing-masing 2 unit bagi gurui lelaki dan perempuan. Asrama juga dilengkapi dengan kemudahan lain seperti surau, kantin, tempat letak kereta dan kawasan rehat serta gelanggang serbaguna.

Sempena pembukaan tersebut, seramai 160 orang pelajar ambilan pertama didaftarkan untuk menginap di asrama. Pengambilan penghuni asrama adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditretapkan oleh pihak sekolah. Pada 2 Ogos 2004, penghuni asrama telah ditambah seramai 100 orang dan pada 4 September 2004 pula, seramai 40 orang pelajar lagi diterima masuk menjadikan jumlah besarnya seramai 300 orang.

Bagi menjamin keselamatan pelajar dan pengurusan asrama yang berkesan, 3 orang warden telah ditugaskan iaitu Cik Saliza Othman, Pn. Norliah Zakaria dan En. Aziz Yusof. Bagi menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan asrama, seorang penyelia telah dilantik iaitu Cik Siti Fatimah binti Salleh.

Sejak asrama dibuka, banyak aktiviti yang telah dijalankan sama ada oleh pihak asrama sendiri mahupun oleh pihak sekolah. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Malam Sambutan Ambang Merdeka, Tuan Rumah Kem Perdagangan (peringkat daerah), Tuan Rumah Kem Bahasa Arab (perngkat daerah), Jamuan Akhir Tahun, Program Sembahyang Hajat pelajar-pelajar PMR dan SPM serta Solat Terawih sempena Bulan Ramadhan. Di samping itu asrama juga menjadi tumpuan setiap tahun sebagai pusat penginapan bagi peserta Tutorial Perkasa daerah Kemaman yang dijalankan di SMK. Kijal.